Thursday, April 15, 2010

Sikap Sebenar Mereka Terhadap Kerja Dah Dibogelkan...

KISAH seorang remaja bekas pelajar cemerlang yang menyamar sebagai kerabat diraja dengan gelaran ‘Tuan Muda’ melawat kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Pahang baru-baru ini amat memeranjatkan. Walaupun cerita ini nampak lucu, namun inilah realitinya.

Sebelum ini, kita telah melihat dan mendengar pelbagai modus operandi penipuan, namun kali ini amat memeranjatkan kerana bukannya kecil-kecil orang yang terkena tetapi Exco kerajaan negeri, pegawai kanan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), malahan pihak polis turut sama terlibat dalam insiden ini.

Timbul persoalan tentang sikap dan mutu kerja di jabatan-jabatan terbabit kerana ia nampak seperti kecuaian atau sikap acuh tak acuh dalam menjalankan tugas. Dalam kes ini, mungkin taksub dan memandang ringan apatah lagi surat itu datangnya dari istana, maka berlakulah arahan tanpa usul periksa.

Sebagai rakyat, saya berharap kejadian seumpama ini tidak dipandang sepi oleh semua pihak terutamanya jabatan dan agensi kerajaan kerana ia memperlihatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang merupakan ciri-ciri utama bagi tadbir urus yang baik.

Lebih daripada itu ia mengundang pandangan kurang senang dan sinis masyarakat terhadap kualiti kerja kakitangan awam. Ini amat bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri untuk meningkatkan prestasi dan mutu kerja terhadap lebih 1.2 juta penjawat awam.

Kejadian seumpama ini harus tidak berulang dan patut dijadikan pengajaran. Dalam dunia globalisasi kini, wujud pelbagai bentuk dan jenis penipuan yang tak terduga dek akal, hanya menunggu masa tatkala kita leka dan alpa.

sumber dari sini...

No comments: