Friday, November 12, 2010

Penulisan Yang Paling Bernas Setakat Ini....

Aku copy & paste saja posting ini yg mana aku pasti pemilik blog berkenaan pun copy & paste dari sumber yg tidak dinyatakan kerana aku tahu sangat kepala hotaknya lagu mana....

Tajuk posting ni adalah Banjir di Kedah, Jangan Terlalu Menyalahkan MB (aku ubah skit bagi sedap membaca)

Banjir di Kedah semakin pulih. Sudah hampir 80% penduduk yang terlibat dalam bencana banjir di negeri utara Semenanjung itu, telah pun pulang ke rumah masing-masing. Namun kisah MB Kedah dan kepimpinan negeri yang 'kurang' memberikan perhatian, terus menjadi tajuk-tajuk utama sama ada di media baru, mahupun media-media tradisional.

Terbaru apabila MB Kedah mengamuk sakan di hadapan wartawan TV3 dan RTM apabila diminta mengulas tentang banjir di Kedah. Maka sekali lagi berita tersebut menjadi 'rebutan' untuk disiarkan oleh media-media baru khususnya blog, sama ada yang pro UMNO mahupun yang pro Pakatan mengikut versi masing-masing.

Banjir yang berlaku di Kedah telah membuka ruang untuk bermain politik bagi sesetengah pihak. Mungkin ada kecacatan di dalam perlaksanaan yang dilakukan oleh Kerajaan PAS, namun hakikatnya menafikan usaha mereka secara total adalah perbuatan yang tidak terpuji.

Kerajaan PAS Kedah, khususnya OSTAT Kita, biasanya kurang memberi ruang untuk UMNO dan Barisan Nasional menghentam. Namun apabila berlaku banjir dan kekecohan yang tercetus kerana faktor 'air naik terlalu cepat' seperti yang diterangkan oleh OSTAT Kita, menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional segera menggunakan kesempatan tersebut dengan sebaik-baiknya.

Sebenarnya hendak menyalahkan OSTAT Kita dan barisan kepimpinan negeri secara total, tidak boleh. Sebabnya, memang Kerajaan PAS Kedah telah melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan pada awal banjir. Namun liputan daripada media tradisional tidak menyeluruh sebaliknya tertumpu kepada tempat-tempat yang dikendalikan oleh pihak UMNO sahaja.

Walau apa pun alasan OSTAT Kita yang kedengaran tidak matang dan bahlol, ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai alasan untuk sesetengah pihak menaikkan nama mereka dalam politik, khususnya di kalangan Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang sebelum ini tidak banyak berada di daerah kekuasaan mereka. Musibah banjir dilihat sebagai medan untuk menunjukkan mereka bekerja dan sangat diperlukan oleh rakyat.

Kita tidak perlulah banyak bercerita atau mempersoalkan tentang ketidakberkesanannya Kerajaan PAS Kedah kerana ia sememangnya sudah terbukti. Namun yang menjadi persoalannya ialah motif sebenar sesetengah pihak di dalam UMNO yang beria-ia memburukkan OSTAT Kita dan PAS Kedah biarpun sebenarnya mereka tidak perlu berbuat begitu.

Tindakan UMNO dan Barisan Nasional mengambil kesempatan memburuk-burukkan PAS Kedah tidak akan menjamin kemenangan mereka dalam pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya, mereka perlu membuktikan keberkesanan kerja mereka, khususnya dalam usaha menghantar bantuan kepada rakyat Kedah tanpa mengira fahaman politik sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Menteri-Menteri Pusat yang sampai ke Kedah, kebanyakannya telah dikepung oleh warlord-warlord tempatan Kedah. Pastinya mereka tidak mendapat gambaran sepenuhnya tentang banjir di Kedah. Begitu juga dengan media-media arus perdana, khususnya media elektronik. Warlord-warlord UMNO Kedah biasanya bijak mengatur dan mengarang cerita untuk menunjukkan kepada bos-bos mereka dari Pusat tentang betapa bagusnya kerja mereka, betapa hebatnya mereka bekerja, betapa efisiennya mereka agar nama mereka berada di carta teratas.

Perhatikanlah bagaimana UMNO Kedah menjalankan tugas membantu rakyat Kedah. Di mana command-center mereka? Siapakah penyelaras mereka? Dan bagaimanakah bantuan diuruskan? Adakah bantuan yang mencurah-curah ke Kedah menerusi UMNO benar-benar sampai kepada mangsa banjir, atau sekadar sampai di pusat-pusat pemindahan semata-mata? Adakah Ketua-Ketua Bahagian UMNO Kedah berjalan dan meninjau suasana banjir dengan mengharung air banjir di kawasan mereka yang digenangi air? Atau mereka sekadar melawat seperti pelancong melawat beruk di dalam sangkar zoo?

Sekalipun tanggungjawab menangani masalah banjir terletak di bahu Kerajaan PAS Kedah, namun sebagai sebuah entiti yang mengaku mereka jauh lebih berjasa berbanding PAS, mengapa pula UMNO tidak ubah seperti PAS pada zaman sebelum PAS dilantik sebagai pentadbir negeri?

UMNO Kedah sebenarnya sangat berharap kepada undi daripada rakyat Kedah. Mereka boleh membusukkan nama PAS menerusi media, tetapi apabila pembusukan tersebut keterlaluan, maka rakyat Kedah pasti akan membuat penilaian semula. Program mangsa banjir mendapatkan bantuan sudah lama berlalu. Ini bukan zaman rakyat mencari bantuan atau mencium tapak kaki pemimpin untuk mendapatkan segenggam beras, sebaliknya pemimpin yang mencari mangsa-mangsa banjir, khususnya untuk kes-kes terpencil bagi memenangi hati rakyat.

Berapa ramai yang berbuat begitu, selain daripada berkokok di pusat-pusat pemindahan banjir semata-mata?

Contoh paling ketara adalah di Anak Bukit apabila sesetengah rumah mangsa banjir ditenggelami bubur lumpur separas lutut. Berapa banyak pasukan daripada UMNO Anak Bukit yang turun membantu penduduk yang menjadi mangsa banjir? Atau sukarelawan UMNO sekadar membersihkan masjid dan sekolah seperti yang dilakukan oleh sukarelawan dari PAS sahaja bagi menunjukkan yang mereka membantu?

Seharusnya sebagai pihak yang sangat mengharapkan undi daripada rakyat Kedah, UMNO perlu bekerja lebih keras daripada PAS. UMNO Kedah tidak boleh sama sekali memburuk-burukkan PAS sekalipun kerja yang dijalankan oleh PAS dalam bencana banjir ini, tidak ubah seperti hampas kelapa... dimasak tak boleh, diberi makan itik, itik pun tak hendak!

UMNO Kedah perlu melipatgandakan usaha mereka membantu rakyat tanpa mengira status mahupun fahaman politik. Perlu diingat, media-media yang melaporkan sebarang perkembangan tidak hanya melibatkan media-media tradisional sebaliknya maklumat banyak disalurkan oleh rakyat marhein menerusi pelbagai jenis media baru, termasuklah cerita lisan.

Tiada gunanya UMNO menunggu peluang untuk membelasah PAS walhal pada masa yang sama, kebanyakan rakyat Kedah melihat UMNO sama seperti OSTAT Kita yang hanya kesibukan apabila rumahnya sendiri ditenggelami banjir.

Sayap-sayap UMNO seharusnya bergerak lebih aktif. Inilah masanya untuk mengambil hati rakyat Kedah. Ini jugalah masanya UMNO menanam modal untuk pilihanraya akan datang. UMNO Kedah perlu sentiasa ingat, media tradisional semakin kurang berpengaruh dan kebanyakan orang kampung, tidak lagi totok pemikiran mereka, sebaliknya mereka juga bijak menganalisa keadaan dan persekitaran. Apatah lagi dengan lakonan-lakonan bertaraf amatur yang ditunjukkan oleh pembesar-pembesar UMNO tempatan.

Tidak perlulah menyusahkan rakyat yang sudah sedia susah seperti yang disarankan oleh Johari Baharum yang mahukan setiap pesawah membuat laporan polis bagi memudahkan mereka diberikan gantirugi atau pampasan kerana banjir. Sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional serta agensi-agensi persekutuan yang dihantar untuk membuat pendaftaran.

Kalau ustaz-ustaz PAS boleh merayap dari satu rumah ke satu rumah bagi memastikan sokongan untuk parti mereka bertambah dengan cara mengambil hati sekalipun hanya menghantar satu tin sardin, tiga ekor tamban kiat, dan beras kampit 5 kilo, setidak-tidaknya ianya bersifat peribadi iaitu dihantar terus ke kelompok sasaran sekaligus membuatkan mangsa banjir akan melihat PAS lebih prihatin berbanding UMNO yang mengambil jalan mudah dengan melambakkannya di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir.

Dalam hal ini, rakyat yang perlu diutamakan. Hentikanlah dahulu sikap mengambil kesempatan seperti yang ditunjukkan sekarang... dan tak perlulah OSTAT Kita dibelasah sedemikian rupa semata-mata kerana beranggapan itu adalah cara terbaik untuk menjatuhkan PAS Kedah!!!!

No comments: